Friday, January 7, 2011

Menzalimi Diri Sendiri

Bismillahirrahmaanirrahiim

Alhamdulillah. Bersyukur kepada Allah atas limpah kurnia-Nya, sehingga hari ini kita masih lagi dapat hidup dan dapat bernafas dengan izin-Nya. Tanpa Dia, tiadalah kita ini dan sudah pasti setiap yang diciptakan-Nya di alam ini bukan sekadar saja-saja sahaja; tetapi pasti ada sebab dan hikmah di sebalik ciptaan tersebut termasuklah kita iaitu insan.
Pada kali ini kita akan berbicara tentang zalimnya manusia terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah s.w.t :

Dan Allah tidak menzalimi manusia walau sedikitpun. Bahkan manusia itu sendiri yang menzalimi diri mereka.
(Surah Yunus : 44)

Berdasarkan firman di atas, dapatlah kita lihat bahawa Allah tidak langsung berlaku zalim terhadap makhluk-makhluk-Nya. Justeru, sedangkan Allah yang Maha Berkuasa itu tidak pernah berlaku zalim, inikan pula manusia hendak berlaku zalim. Tanpa kita sedari, kita sebenarnya sering kali berlaku zalim sama ada terhadap makhluk lain mahupun terhadap diri kita sendiri.
Yang dimaksudkan dengan berlaku zalim pada diri sendiri ini ialah kita tidak membenarkan diri kita ini untuk mendekatkan diri serta beriman dan bertaqwa kepada Allah. Dan sudah tentulah apabila seorang hamba itu menjauhkan dirinya dari Allah, maka dia akan semakin dekat dengan azab Allah. Namun begitu, walau setinggi gunung sekalipun dosa yang telah kita lakukan, jika kita bertaubat, memohon keampunan dengan hati yang penuh penyesalan, pasti Allah akan mendengar permohonan kita itu dan sudah pastinya Allah akan mengampuni segala dosa kita itu. Ingatlah, Allah Maha Pengampun dan Maha Menerima Taubat.

Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (mereka segera) ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui.
(Surah Ali‘Imran : 135)

Sudah menjadi lumrah, setiap manusia pasti melakukan kesilapan. Dan dari kesilapan itulah seseorang dapat menilai semula dirinya lantas memperbaiki dirinya untuk masa hadapan. Ingatlah, seorang muslim yang baik akan memastikan dirinya hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Setiap malam, pastikan kita memuhasabah diri kita sebelum kita tidur. Dan apabila kita mempunyai masalah, ingatlah sabda Rasulullah s.a.w pada saat-saat terakhir hayat baginda: aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut.
Jadi, dapatlah kita lihat bahawa walaupun seorang manusia itu melakukan kezaliman ke atas dirinya mahupun makhluk lain, Allah tetap memberi kita panduan dan peluang untuk kembali kepada-Nya. Renung-renungkanlah doa Nabi Adam a.s. setelah dia beserta Hawa melanggar larangan Allah di dalam syurga:

Kedua-duanya berkata “ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi”.
(Surah al-A’raf : 23)

Kesimpulannya, tidak kira sejauh mana zalimnya seseorang manusia itu, Allah tetap membuka pintu taubat-Nya bagi mana-mana hamba-Nya yang inginkan keampunan-Nya asalkan hamba itu bertaubat dengan taubat nasuha. Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar kita dijauhkan oleh Allah daripada sifat zalim dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Berdoalah juga supaya kita menjadi umat Muhammad dan umat al-Quran yang sentiasa ikhlas berkhidmat untuk Islam.

ANGGAPLAH RENUNGAN BERSAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...