Wednesday, January 12, 2011

Sabar & Solat Kunci Kejayaan

Bismillahirrahmaanirrahiim

Bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. atas limpah dan kurnia serta izin-Nya, kita masih dapat hidup di bumi Allah ini dengan menghirup udara yang diberikan secara percuma oleh-Nya kepada setiap makhluk tanpa mengira keimanan mereka. Bersyukur juga kepada ar-Rahiim yang masih mengurniakan kita semua dua rupa nikmat yang sangat indah iaitu nikmat islam dan nikmat iman.
Fokus kita pada kali ini ialah mengenai sabar dan solat kunci kejayaan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, sabar itu sebahagian daripada iman. Manakala solat itu pula tiang agama yang mana jika kita melalaikannya, maka layaknya kita merobohkan agama.


“Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya (solat) itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk (dalam solatnya). [Al-Baqarah: 45]

Melalui ayat di atas, jelaslah bahawa kita sebagai seorang muslim yang beriman haruslah memohon pertolongan iaitu berdoa kepada Allah dan mestilah doa itu disertai dengan kesabaran dan kepercayaan yang tinggi bahawa doa kita itu pasti akan dikabulkan Allah. Selain itu minda kita haruslah sentiasa ingat bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya maka boleh jadi yang kita mohon itu tidak diperlukan oleh kita malah mungkin Allah akan memberi kita sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang kita minta kepada-Nya.
Dalam hal solat pula, selain solat fardhu yang wajib ditunaikan dengan penuh rasa kehambaan itu, kita juga haruslah memohon kepada Allah dengan mendirikan solat sunat hajat sama ada dua rakaat atau dua belas rakaat (lebih afdhal). Solat itu pula mestilah didirikan dengan rasa tawadhu’, ikhlas dan penuh rasa berharap agar Allah menerima permohonan kita. Kita juga mestilah sentiasa yakin bahawa Allah sentiasa mendengar rintihan hati hamba-hamba yang selalu mendekatkan diri kepada-Nya. Jika kita benar-benar memahami serta mendalami setiap ayat yang kita tuturkan dalam solat, ditambah pula dengan ketaqwaan yang tinggi kepada Allah, Insya Allah, kita akan menjadi lebih khusyuk dalam solat.
Setelah doa kita termakbul pula, janganlah kita terus melupakan Pencipta kita. Ada sesetengah hamba Allah yang sudah terlampau selesa dengan nikmat yang Allah pinjamkan kepada mereka sehinggakan mereka lupa serta lalai untuk mengingati Allah. Mereka hanya mendekatkan diri kepada Allah apabila berada dalam kesulitan dan kesusahan. Itulah lumrah insan. Selalu leka dan lupa kepada Kuasa yang telah memberi kehidupan kepada mereka.
Tuntasnya, janganlah kita hanya menghampiri Tuhan apabila memerlukan sahaja. Sebaliknya, berusahalah untuk menjadi hamba Allah yang mendapat keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya, jika satu langkah kita menghampiri Allah, maka Allah akan mendekati kita sepuluh langkah. Wallahu`alam.

Bertaqwalah wahai muslimin! Bertaqwalah wahai mukminin! Bertaqwalah wahai umat Muhammad! Allahu Akbar!!
ANGGAPLAH RENUNGAN BERSAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...